PENGERTIAN AQIDAH
Aqidah berasal daripada perkataan Arab (Aqada) yang bermaksud ikatan atau simpulan. Biasanya ikatan atau simpulan berlaku pada benda yang dapat dirasai seperti tali. Tetapi perkataan ini juga digunakan pada suatu yang manawi. Dari maksud lahiriah perkataan aqidah bermaksud ikatan atau simpulan manawi yang terkhusus di dalam kepercayaan. Aqidah boleh difahami sebagai kepercayaan yang terikat kuat dan tersimpul erat dalam hati terhadap sesuatu perkara yang benar dan hak sehingga tidak dapat mungkin tercerai atau terurai.
Fahaman praktikalnya aqidah merupakan perjanjian keimanan yang kuat di antara manusia dengan Penciptanya. Aqidah Islamiyyah sahajalah yang benar dan yang betul, manakala yang lainnya adalah palsu dan batil. Konsep aqidah yang sebenarnya seperti yang dijelaskan inilah yang diistilahkan Islam sebagai Iman.
UNSUR-UNSUR PEMBENTUKAN AQIDAH
Sarjana Islam berpendapat bahawa unsur-unsur pembentukan aqidah terdiri daripada :
1. Unsur aqal atau pemikiran.
2. Unsur iradah atau pemilihan.
3. Unsur wujdan atau perasaan
Ketiga-tiga unsur ini saling bertalian dan kuat. Kesempurnaan aqidah adalah daripada keutuhan dan keteguhan simpulan dalam jiwa. Keutuhan dan keteguhannya pula tidak wujud melainkan ia terbentuk dari jalinan yang erat antara ketiga-tiga aspek penting ini. Yang juga merupakan tiga daya kekuatan dalam diri manusia. Melalui proses ketiga-tiga unsur tadi terjalin dan searah jalan tanpa pertentangan; iaitu pembuktian dan kelojikan aqal; kerelaan hati serta kehangatan peraan dapat melahirkan aqidah yang sempurna yang membentuk kesempurnaan peribadi atau syakhsiyyahnya dan menjadi kompas pengarah atau pembentukan corak dan warna hidupnya sama ada dalam lingkungan individu, mahupun dalam lingkungan keluarga, atau pun dalam lingkungan masyrakat yang lebih besar.
Hakikatnya cirri-ciri aqidah tidak memadai hanya berada di atas permukaan aqal atau intelek, demikian juga tidak cukup berada di paras penerimaan dan pengakuan sahaja. Tetapi perlu mengisi dan menyerapi setiap ruang diri dan jiwanya sehingga sebati dengan perasaan dan sentiment yang sihat.
AQIDAH PEMBENTUK PERIBADI
Aqidah Islamiyyah dapat membentuk nilai akhlak dan peribadi yang akan mencorakkan amalan dan perbuatan muslim. Sebagaimana acuan dapat membenuk dan mencorakkan kandungannya, maka demikianlah halnya dengan akhlak . ia dapat membentuk individu yang mengambilnya menepati hakikat dan tabiat keinsanan yang tulen seperti kehendak Allah. Jelasnya, akhlak dapat membentuk sifat-sifat naluri Muslim, aqal fikirannya, iradahnya, dan perasaannya.
Aqidah Islam adalah bersumberkan ketuhanan atau merupakan aqidah Rabbaniyyah yang tetap, sempurna dan menyeluruh. Hanya aqidah yang kukuh sahaja dapat membentuk manusia yang kukuh dan teguh. Kekukuhan dan keteguhan aqidah inilah yang menjadi sumber kekuatan Islam. Inilah hakikah kekuatan umat Islam; kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya menjadi asas kekuatan jasmaninya.
CIRI-CIRI AQIDAH
Aqidah Islam mengandungi cirri-ciri atau rukun-rukun asas. Cirri-ciri tersebut dapat disimpulkan kepada tiga:
1. Marifatullah (mengenali Allah)
Mengenali dan mengetahui serta beriman dengan Allah subhaanahu wa taaala, nama-nama-Nya yang mulia serta sifat-sifatnya yang suci dari segala kekurangan. Antara cara untuk kita meningkatkan keimanan terhadap Allah ialah dengan memerhatikan bukti-buki yang ada di alam ini.
2. Marifatur Risaalah(mengenali kerasulan)
Mengenali dan mempercayai rasul-rasul yang dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu dan menyampaikan syariatnya serta menjadi pembimbing dan memimpin seluruh makhluk menuju kepada jalan yang haq dan agama Allah yang sebenar, iaitu agama Islam.
3. Marifatul Batsi (mengenali hari kebangkitan)
Mengetahui dan mempercayai tentang hari kebangkitan iaitu hari di mana manusia dibangunkan dari kubur masing-masing (dihidupkan sesudah mati), dikumpulkan dan dihisab segala amalan sama ada yang baik atau yang buruk untuk diberikan balasan pahala atau siksaan dan di sana juga adanya sirathol Mustaqim, syurga dan neraka.
KEISTIMEWAAN AQIDAH ISLAMIYYAH
Aqidah itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang mana ia membuktikan kesucian dan keluhurannya:
1. Aqidah yang menyeluruh
Aqidah Islam adalaj aqidah yang menyeluruh merangkumi kedua-dua sumber kejadian manusia; rohani dan jasmani. Ia tidak menerima perubahan atau pengembangan, tidak ada permulaan dan akhiran, dan mengakui persambungan atau kelangsungan kehidupan selepas mati iaitu kehidupan akhirat.
2. Aqidah yang kekal
Aqidah Islam kekal kerana tidak berubah disebabkan perubahan keadaan atau zaman. Ini berbeza dengan ideology yang berasaskan dasar yang lemah dan luntur. Contohnya ideology yang berasaskan kebendaan dan perkauman yang menjadikan kebendaan dan perkauman itu sebagai asas dan dasar kehidupan.
3. Aqidah yang sesuai sepanjang masa
Aqidah Islam bersifat kekal dan sesuai untuk sepanjang masa.
4. Aqidah Islam yang praktikal.
Aqidah Islam bukan hanya bersifat aqliyyah (yang dapat diterima oleh aqal), tetapi pada waktu yang sama bersifat nafsiyyah (kejiwaan) dan amaliyyah (praktikal). Keimanan kepada Allah dan hari akhirat bukan hanya suatu teori benar yang boleh dibincangkan tetapi bertapak dan sebati di dalam hati. Aqidah yang sedemikian akan menjadi tenaga penggerak untuk membebaskan umat manusia.
5. Aqidah Islam penyusun nilai hidup
PERBEZAAN AQIDAH DAN IEOLOGI
Aqidah dan ideology adalah kepercayaan atau pun fahaman yang amat berbeza. Ideology merupakan kepercayaan dan dasar hidup yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadeeth dan meninggalkan kesan yang merbahaya kepada manusia sama ada disedaria atau tidak umat Islam perlu kenal dan tahu perbezaan antara kedua-duanya agar tidak terjebak kekancah yang tidak diredhai oleh Allah subhaanahu wa taaala.
Aqidah Islamiyyah yang datang dari Allah pastinya sempurna. Allah sebagai pencipta makhluk sudah tentu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk ciptaanNya. Sebaliknya ideology ciptaan manusia yang banyak kekurangan sudah pasti dilingkungi oleh banyak kelemahan. Aqidah Islamiyyah sesuai bagi setiap masa dan tempat kerana ia bersandarkankepada asas yang tepat iaitu Al-Quran dan Hadeeth. Ia tidak berubah walau apapun yang melanda dan tidak berubah kerana peredaran zaman. Sementara itu ideology mudah berubah dan bertukar mengikut hawa nafsu manusia itu sendiri. Sebagai contonya ideology nasionalisme kepercayaan tidak sesuai untuk pegangan hidup seluruh umat manusia.
Ideology juga tidak merangkumi seluuh aspek kehidupan manusia (politik, ekonomi, pendidikan, akhlak dan lain-lain). Contohnya komunisme dan kapitalisme hanya menjurus kepada bidang ekonomi.
Ideology tidak mampu menjadi menjadi penyelamat umat berbanding dengan aqidah Islam. Terdapat ideology yang menjaga kepentingan pemerintah dan tasub perkauman sehingga berlakunya penindasan kepada sesama manusia serta terbukti dalam sejarah berlakunya pergaduhan di kalangan umat manusia.
PENGERTIAN TAUHID
Perkataan Tauhid berasal dari perkataan Arab (wahada) yang bereti mengesakan. Dari segi istilah bermaksud beritiqad dan mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala itu esa dan tunggal, tiada syirik atau sekutu baginya. Fahaman secara praktikalnya tauhid ialah suatu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Tuhan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu baginya atauupun yang menyerupaiNya. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa yang setara denganNya.(Al-Ikhlas:1-4)
PEMBAHAGIAN TAUHID
Tauhid terbahagi kepada tiga:
1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Asma was Sifaat
Tauhid Rububiyyah
Tauhid rububiyyah bererti mempercayai Allah sebagai Rabb atau Pencipta dan Penguasa terhadap sesuatu. Allahlah Pencipta sekalian makhluk dan alam ini, Pemilik, Pentadbir dan Pemberi segala-galanya. Allah yang menghidukan dan mematikan sesuatu, Dia yang berkuasa memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu dan tiada siapa yang berhak dan berkuasa untuk melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan tanpa izinNya.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah. Tauhid Uluhiyyah ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah subhaanahu wa taaala shaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahanNya. Dia sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepadaNya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engaku sahajalah yang kami memohan pertolongan.(Al-Faatehah:5)
Inilah konsep ibadah atau pengabdian sebenarnya yang membezakan antara mukmin dengan kafir iaitu setiap perbuatan lahiriyyah dan batiniyyah dilakukan semata-mata kerana Allah subhaanahu wa taaala dan untuk mendapatkan keredhaanNya. Ini bererti meletakkan seluruh perbuatan, percakapan dan tingkah laku di atas perintah dan petunjuk Allah semata-mata.
Tauhid Asma was Sifaat
Tauhid Asma was Sifat ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah subhaanahu wa taaala mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaranNya. Segala nama dan sifat Allah itu tidak sama dengan nama dan sifat makhluk. Walaupun nama-nama dan sifat-sifat tersebut sama pada sebutannya dengan nama dan sifat makhluk, tetapi hakikatnya ia tidak menyerupai nama dan sifat makhluk. Firman Allah subhaanhu wa taaala:
Tiada suatu pun yang sebanding denganNya (dengan zatNya, namaNya dan sifatNya), dan Dialah Yang Mendengar Lagi Maha Melihat.
Di dalam ayat lain Allah subhaanahu wa taaala berfirman:
Dan bagi Allah itu, nama-nama yang baik. Serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya, mereka akan mendapat balasan akan apa yang mereka kerjakan.
PERTAUTAN KETIGA-TIGA JENIS TAUHID
Seseorang Muslim mestilah mentauhidkan Allah subhaanahu wa taaala pada ketiga-tiga jenis tauhid ini. Jika tidak, dia tidak dianggap sebagai seorang Mukmin. Seseorang Mukmin wajib beritiqad bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Rabb bagi segala perkara dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dia juga wajib mengaku dan beriman bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang layak denganNya. Setelah seseorang beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini maka barulah dia dikatakan telah beriman dengan Allah.
Tauhid Rububiyyah diiktiiraf dan diakui oleh semua manusia sama ada seorang Muslim atau kafir. Oleh itu, kalau seseorang hanya mengakui dan beriman kepada tauhid ini sahaja tanpa disetai oleh tauhid-tauhid lain, maka dia belum boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Fitrah Insaniyyah sudah sedia mengenali dan mengakui rububiyyah Allah subhaanahu wa taaala. Tetapi tauhid ini tidak boleh diingkari walaupun ia diakui oleh semua manusia. Firman Allah subhaanu wa taaala:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka demikian tidak mengingkari Allah) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)
Segala pengakuan manusia terbukti melalui ibadatnya yang terkandung dalam tauhid uluhiyyah. Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyyah, maka secara tidak langsung dia beriman dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Ini kerana, tauhid uluhiyyah terkandung di bawah tauhid-tauhid lain dan sebaliknya. Seseorang yang beriman dengan tauhid rububiyyah sahaja tidak semestinya beriman dengan uluhiyyah Allah. Ada dari mereka yang beriman dengan rububiyyah Allah tetapi menyembah patung, berhala, bulan dan seumpamanya tetapi tidak mentaati Allah.
Begitu juga seseorang yang beriman dengan tauhid asma was sifat kadang-kadang kufur dengan uluhiyyah. Tetapi jika dia beriman dengan tauhid uluhiyyah dan menyembah Allah subhaanahu wa taaala, dia juga beriman dengan dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Tauhid uluhiyyah berasaskan ucapan (Laa Ilaaha Illa Allah). Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Inilah intisari tauhid uluhiyyah.
Jadi untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati, seseorang itu wajib beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini serentak tanpa mengasingkan di antara satu sama lain.
PENGERTIAN SYAHADAH
Pengakuan dan pengiktirafan tauhid ini tidak akan terhasil melainkan dengan mengucap dan melafazkan dua kalimah syahadah: (Ash-haduallaailaahaillallah,waash-haduannamuhammadarrasuulullah) yang bermaksud: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam itu persuruh Allah.
Syahadah bererti pengetahuan, penerangan, pengkhabaran, dan pernyataan. Orang yang bersyahadah dipanggil bersaksi kerana dia mengkhabarkan dan memberitahu apa yang diketahui olehnya. Kalimah syahadah juga mengandungi pengertian ikrar , iktiraf dan itiqad iaitu pengakuan, pengiktirafan dan kepercayaan. Seseorang yang bersyahadah memang mempercayaai kebenaran apa yang dikhabarkannya. Orang yang bersyahadah ini hendaklah sedar bahawa segala pengajaran dan peraturan yang disampaikan melalui Al-Quran dan Hadeeth adalah benar dan betul. Seseorang yang bersyahadah hendaklah tunduk dan patuh kepada kehendak syahadah dan tuntutannya kerana syahadah itu menuntut individu melaksanakan tuntutan-tuntutannya
TUNTUTAN-TUNTUTAN SYAHADAH
Syahadah yang diucapkan hasil dari kesedaran dan keikhlasan melahirkan tauhid yang sempurna yang berfungsi untuk mendesak orang yang mengucapkannya supaya melaksanakan segala tuntutan syahadah tersebut.
Di antara tuntutan syahadah ialah:
Membenarkan segala yang datang daripada Allah dan Rasulnya
Seseorang Mukmin wajib percaya tanpa ragu dan syak segala yang datang daripada Allah dan RasulNya yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadeeth. Seterusnya mereka percaya bahawa segala perkara yng bukan dari Allah dan RasulNya yang bercanggah dengan Islam adalah palsu.
Melaksanakan hukum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya
Semua hukum dan peraturan Allah dan RasulNya yang termaktub di dalam Al-Quran dan Hadeeth mesti dilaksanakan dalam semua urusan hidup, sam ada urusan ibadat, politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad) mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim di dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak pula merasa sesuatu di dalam hati mereka keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
Dapat difahami dari ayat ini bahawa orang-orang yang beriman rela menghukum dengan hukum Allah dan RasulNya dan menerima hukum itu dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Tiada perasaan tidak puas hati atau tidak bersetuju dengan hukum tersebut dan jauh sekali dari menukarkan hukum-hukum atau undang-undang Allah dengan undang-undang ciptaan makhluk. Oleh sebab itu, melaksanakan hukum-hukum dan undang-undang Allah merupakan suatu kewajipan dan tanggungjawab yang besar yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan seharian.
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH
1. Bertawakkal dan bergantung kepada selain daripada Allah.
2. Ingkar nikmat Allah samaada yang terang atau yang sembunyi, yang mudah difikirkan atau yang memerlukan kajian.
3. Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana Allah tidak menyukainya.
4. Menggubal undang-undang mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah.
5. Menumpukan segala ketaatan kepada selain Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.
6. Menjalankan hukum selain dari hukum Allah atau tidak merujuk kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.
7. Benci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau menbenci agama Islam seluruhnya.
8. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan akhirat dan menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam hidupnya.
9. Menghina sesuatu daripada kitab Allah atau sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam atau orang-orang alim yang menegakkannya atau mempersendakan hukum-hukum daripada hukum Allah atau syiar-syiar Islam.
10. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan sebaliknya.
11. Tidak beriman dengan semua sumber-sumber (punca) hukum daripada kitab Allah dan As-Sunnah.
12. Melantik orang-orang kafir dan munafiq menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang-orang yang beraqidah Islam dan mukmin.
13. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
14. Rasa takut, lemah hati di dalam menegakkan Tauhidullah dan rasa lapang, terbuka dan riang dalam menegakkan perkara-perkara syirik.
15. Menyatakan bahawa Al-Quran terdapat pertentangan di antara ayat yang dan isi yang terkandung di dalam ayat itu.
16. Tidak mengetahui tentang marifat Allah dan pengenalan yang jelas serta ingkar dengan sifat-sifat ketuhananNya dan ingkar nama-namaNya.
17. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan adanya sifat-sifat yang terpuji yang diberikan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat-sifat kepujian atau mengitiqad bahawa baginda adalah contoh utama bagi manusia.
18. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah ingkar syahadah dan tidak menghalalkan berperang dengan mereka.
19. Membuat sesuatu pekerjaan (ibadah) bukan kerana Allah, sujud dan tawaf berkiblatkan kepada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.
20. Banyak jenis syirik yang menggugurkan syahadatain yang dinamakan syirik kecil seperti mengerjakan solat kerana hendak mendapatkan pujian, bersedekah kerana sungutan orang atau supaya orang datang kepadanya seolah-olah dia berjihad iaitu supaya orang mengenag jasa dan namanya.
PENGERTIAN IMAN
Kalimah iman berasal daripada kata akar (al-amanu) yang bererti aman; iaitu ketiadaan rasa takut. Pecahan kalimah (al-amana) pula terdiri daripada kalimah-kalimah (al-amaanu), (al-amaanatu) dan (al-amiinu). Kesemuanya mengandungi makna induk iaitu: keamanan daripada rasa takut dan bimbang dan aman daripada dusta dan penipuan. Ia juga memberi makna kedamaian dan ketenangan jiwa.
Daripada kalimah (al-amanu) ini lahirlah kalimah (al-iimaan) yang mengandungi beberapa makna. Di antaranya kalimah iman ini membawa maksud: mengitiraf, mengakui dan membenarkan sesuatu tanpa mendustakannya. Iman dalam pengertian bahasa mengandungi makna-makna: ketenangan, rasa penuh percaya, tiada keresahan jiwa, kesihatan aqal serta aman damai daripada takut dan bimbang.
Daripada segi istilah pula, iman bermaksud: membenarkan (tasdiq) iaitu beritiqad dengan hati dengan segala yang diketahui ianya daripada deen Islam yang dibawa oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam serta berikrar dengan lidah dan beramal dengan seluruh anggota badan.
CARA MENAMBAH IMAN
Ada beberapa perkara yang menyebabkan bertambahnya iman seseorang:
Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah:
1. Ilmu yang berkaitan dengan Allah, nama-namaNya serta sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya dan nikmat-nikmatNya.
2. Ilmu yang berkaitan dengan Rasulullah, akhlak-akhlak beliau, manhaj hidup serta syariatnya, serta perjalanan hidupnya dalam masalah ibadahnya, perjuangan dan juga muaamalahnya.
3. Ilmu yang berkaitan dengan kitaabullah yang mengandungi berita-berita, contoh-contoh, hukum, pengajaran, perbezaan dan lain-lain lagi.
Amal perbuatan
Amal perbuatan yang dimaksudkan di sini ialah membanyakkan amalan-amalan soleh serta menperdalami ketaatan sehingga menambahkan keyakinan dan memperkukuhkan keimanan serta menghindari diri daripada perkara-perkara yang boleh menjerumuskan ke dalam nafsu syahwat serta kemaksiatan-kemaksiatan lainnya yang boleh melemahkan iman.
Zikir dan fikir
Zikir ialah mengingati Allah serta sifat-sifatNya, apa-apa yang berkaitan dengan keagunganNya dan membaca kalam-kalamNya sehingga hati kita senantiasa ingat kepadaNya. Fakir pula ialah aktiviti yang membawa kepada renungan terhadap ciptaanNya serta memandang kepada Allah dengan memikirkan mukjizat-mukjizatNyaa sehingga dapat membuahkan iman kepada Allah, iaitu merasakan kekuasaan dan keagunganNya. Cara pandang yang demikian itulah yang disebutkan dengan tafkir dan itibar.
CARA PEMBATALAN IMAN BERLAKU
Empat batas utama yang menjadikan terbatalnya iman seseorang itu ialah:
Ø Mengingkari atau mencela sifat rububiyyah Allah.
Ø Mengingkari atau mencela nama-nama Allah serta sifat-sfatNya.
Ø Mengingkari atau mencela sifat uluhiyyah Allah.
Ø Mengingkari atau mencela Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, kerasulannya, dan apa-apa yang dibawanya dalam bentuk syariat atau lain-lainnya.
Keempat-empat perkara tersebut berlaku dengan itiqad, perkataan dan perbuatan di mana sesiapa sahaja yang melakukannya maka terbatallah imannya dan terkeluarlah ia daripada Islam dan syahadahnya.
PENGERTIAN KUFUR
Kufur ialah tidak beriman kepada keesaan Allah, atau kenabian, atau syariat, atau ketiga-tiganya sekali.
PEMBAHAGIAN KUFUR
Ibn. Manzur dalam Lisan Al-Arab telah membahagikan kufur itu kepada empat bahagian iaitu:
Kufur ingkar
Iaitu kufur di dalam hati dan lidah. Sebagaimana firman Allah subhaanahu wa taaala:
Sesungguhnya orang-orang kafir itu sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak juga beriman. (Al-Baqarah:6)
Kufur juhud
Iaitu mengakui dengan hati tanpa ikrar dengan lidah. Contonya seperti kufurnya iblis dan kufurnya Umayyah Bin Abi Al-Salt.
Kufur
Iaitu mengaku dengan hati, ikrar dengan lidah tetapi tidak menunaikan kehendak-kehendak agama kerana dengki dan sombong seperti kufur Abu Jahal dan kuncu-kuncunya.
Kufur nifaq
Iaitu mengakui dengan lidah, tetapi kufur dan tidak bertekad di dalam hatinya. Di dalam kita Al-Tahzib ada menyebutkan bahawa: Mengaku dengan hati dan ikrar dengan lidah, tetapi enggang menerima Islam, ini seperti kafirnya Abu Talb, yang mana beliau berkata: Saya akui bahawa agama Muhammad adalah sebaik-baik agama, jika tidak kerana celaan dan cacian tentu aku terimanya (memeluk Islam).
SYIRIK, MURTAD, NIFAQ, FASIQ
Syirik
Syirik bermakna mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain daripada sifat uluhiyyahnya (berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya dan didoakan kepadaNya) ataupun sifat rububiyyahnya (menjadikan, mentadbir, dan menguruskan alam). Sesiapa yang menganggap mana-mana satu daripada sifat-sifat yang tersebut itu ada pada selain daripada Allah, sesungguhnya dia telah melakukan syirik dengan Allah walaupun dia pada masa itu masih mengaku beriman dengan Allah. Sebagaimana firman Allah subhaanahu wa taaala:
Dan (orang yang beriman kepada Allah), kebanyakannya tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.
Perkataan kufur juga mempunyai makna yang sama dengan syirik walaupun terdapat di kalangan ulama yang membezakan di antara kufur dengan syirik tetapi apabila dilihat kepada mafhumnya maka ianya tidaklah mempunyai perbezaan yang boleh dianggap bahawa dua perkataan itu mempunyai makna yang terlalu berlainan.
Murtad
Murtad bermakna kembali setelah Islam. Ijma ulama menyatakan bahawa seseorang Muslim yang ingkar kepada apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah adalah murtad; iaitu kafir setelah Islam kecuali jika dia benar-benar jahil. Tetapi sekiranya diberitahu dan ditegakkan hujjah namun dia masih tetap dengan keingkarannya maka dia dihukumkan dengan kufur dan murtad.
Nifaq
Nifaq ialah sifat dan amalan yang dilahirkan oleh seseorang yang berupa amalan dan sifat seorang Muslim pada zahirnya tetapi hakikatnya dan juga apa yang ada di dalam hatinya tidak demikian. Jika apa yang tersembunyi di hatinya itu berupa perasaan yang tidak menafikan iman, maka tidaklah menjadi kufur. Sekiranya terdapat perasaan yang menafikan iman walaupun lidahnya berikrar, maka dia tidak beriman di sisi Allah. Tetapi di kalangan kita, dia adalah orang Islam, bermuamalah dengannya sebagai seorang Islam selagi tidak lahir kekufurannya. Sesungguhnya Allah hanya memberitahu kepada kita tand-tandanya sahaja dan terserahlah kepada si munafiq itu untuk menyedari bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di hatinya. Di dalam Al-Quran, Allah telah mendedahkan sifat-sifat orang munafiq seperti berikut:
Dan di antara manusia ada yang mengatakan: Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat, padahal mereka bukanlah oran yang beriman. Mereka hendak menipu Allah, padahal mereka menipu diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar.
Fasiq
Fasiq pada umunya ialah maksiat, meninggalkan perintah Allah, dan keluar dari jalan yang dibenarkan. Di dalam Al-Quran, istilah fasiq ini digunakan bagi menerangkan perbuatan-perbuatan tersebut:
1. Maksiat kepada Allah dalam meninggalkan tauhid, maka ini adalah syirik (As-Sajadah:18)
2. Maksiat kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, maka ini adalah kufur (At-Taubah:80)
3. Maksiat kepada Deen tanpa syirik dan kufur (Al-Maidah:25)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment