Di nusantara, khususnya Malaysia terdapat tiga bentuk ajaran sesat. Antaranya:
Kumpulan Yang Membawa Dan Menyebarkan Ajaran Sesat
Maksudnya sesuatu ajaran itu dibawa dan disebarkan dalam sebuah kumpulan tertentu. Kumpulan ini mempunyai carta organisasi yang tersusun yang dipimpin oleh seorang ketua atau pemimpin serta dibantu oleh orang kanannya. Kebiasaannya ia dianggotai oleh pengikut yang ramai, mempunyai dana dan pengaruh tersendiri. Bahkan membentuk satu kumpulan yang kuat
dan amat sukar untuk dihapuskan dalam jangkamasa yang pendek. Justeru, tidak hairanlah jika taktik ini dipergunakan oleh sebahagian besar pemimpin ajaran sesat atau menyeleweng di negara kita.
Ajaran Sesat Yang Hanya Wujud Sebagai Satu Ajaran Sahaja
Ajaran bentuk ini hanya diketuai oleh seorang guru dan diikuti oleh pengikut-pengikut yang terhad dan tidak berorganisasi. Kumpulan ajaran ini biasanya tidak kuat dan mudah terhapus setelah pemimpinnya dikenakan tindakan atau bertaubat kembali ke jalan yang benar.
Ajaran Sesat Yang Wujud Dalam Bentuk Media
Ketahuilah bahawa media cetak dan media elektronik juga turut dipergunakan sebagai medium dakwah ajaran sesat atau menyeleweng. Jika kita meninjau premis perniagaan toko-toko buku didapati terdapat buku-buku tertentu dijual secara bebas di pasaran.
Buku-buku seperti Hakikat Insan, Tasawuf al-Haq, tulisan anti hadis, Islam Liberal, Wahhabiyyah, Syi‘ah, al-Arqam dan lain-lain masih berlegar dalam ruangan media cetak walau pelbagai tindakan telah diambil untuk mengatasinya.
Sesetengah aliran pula menjadikan media elektronik sebagai medium propaganda. Caranya dengan mengetengahkan tokoh-tokoh mereka membincangkan isu-isu agama melalui media arus perdana. Maka tidak hairanlah televisyen kita kita selalu menyiarkan kenyataan beberapa tokoh yang beraliran Wahhabiyah dan Liberal bagi membicara isu-isu agama kontemporari. Menyebabkan masyarakat menjadi gempar lantaran keliru dengan kenyataan yang dipersembahkan mereka.
Kekadang, media elektronik seperti televisyen, radio dan website tidak dipantau dan dikawal selia dengan baik. Kesempatan ini diambil oleh mereka untuk menyebarkan dakyah kepada masyarakat secara terbuka. Sedikit sebanyak usaha ini memberi keuntungan kepada mereka.
Kesimpulannya, ajaran sesat di Malaysia dipersembahkan dalam pelbagai bentuk yang berbeza. Walau apa jua persembahan mereka, kita perlu proaktif dengan perkembangan. Bahkan menyusun atur langkah yang bersepadu dan menyeluruh bagi menangani sebarang kemunculan dan penyebaran ajaran yang sesat lagi menyeleweng ini dari menular.
Sunday, February 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment