Definisi Rasuah
Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan
tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah untuk dirinya sendiri. Ini kerana apabila
melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu.
Secara amnya, rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan
bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.
Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam Al-Quran,
rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti
merompak, menipu, dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan
“memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah
rasuah.
Biasanya rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi
kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat.
Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan
terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat
Islam, keredaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T. harus dititikberatkan dalam apa juga
urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Sabda Rasulullah
S.A.W. yang bermaksud:
“Daripada Abu Hurairah r.a. ia telah berkata: “Rasulullah S.A.W. telah mengutuk orang
yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukummenghukum”.
Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak
dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini.
Bahan-bahan Suplemen
Sabda Rasulullah S.A.W.:
“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.
Allah telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya
kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat
kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”.
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang
mendapat kebebasan, kontrak, atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah
syarikat selepas memberi wang, hadiah, atau keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut
Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
Meminta/Menerima Rasuah
Menawar/Memberi Rasuah
Membuat Tuntutan Palsu
Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana
undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan
ketidakadilan akan berleluasa.
Pandangan Islam Terhadap Rasuah
Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi
mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah
diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan
rasuah, seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi yang
bermaksud:
“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka”.
Bahan-bahan Suplemen
Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah S.W.T. sebagaimana dinyatakan
dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
“Allah S.W.T. melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang
yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.
Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini.
Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang
bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.
Punca Berlakunya Rasuah
1. Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah
dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan
peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes
dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada
siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat
kaya, dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah
keperibadiannya.
2. Kelemahan kepemimpinan dan pengurusan organisasi. Kepemimpinan yang lemah
menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas, dan
terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.
3. Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi
hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari
perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan, dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi
kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta,
disogok, atau diumpan tanpa disedari.
4. Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan
pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan
bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan
yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya.
Bahan-bahan Suplemen
Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan
tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau
pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender,
mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat
menyiapkan projek dan sebagainya.
5. Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada
masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa,
memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti, dan
sebagainya.
Kesan-kesan Rasuah
Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan
melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada
sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk
masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang
ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai
negara kita.
Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka
pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya.
Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah
menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh
segelintir pemberi rasuah.
Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran
sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya, hal ini menimbulkan masalah lain seperti
kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat, dan sebagainya. Budaya rasuah juga
boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara seperti yang berlaku di
Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan Presiden Marcos dari tampuk
kepemimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.
Langkah-langkah Mengatasi Rasuah
1. Memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri.
Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk
membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat
biasa, pemimpin, peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi.
Kekuatan iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa yang
tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.
2. Memasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan.
Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak
zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi
individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya
membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.
3. Meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman.
Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat
sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk
keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum
cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.
4. Memudahkan urusan menggunakan ICT.
Prosedur diproses yang panjang, sukar, dan lambat perlu diperkemaskan dan
dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu
duga, dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak membebankan orang ramai
khususnya para peniaga, kontraktor, dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat
menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk
mempercepatkan proses.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment